Monday, 21 September 2015

BERSATUKAH MELAYU?

Salam,

1. Apakah Himpunan Rakyat Bersatu yang berlangsung pada 16 September 2015 baru-baru ini sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan Melayu atau mengukuhkan perpaduan kaum? Jika untuk mengukuhkan perpaduan Melayu, apakah selepas himpunan tersebut sehingga kini sudah ada tanda-tanda perpaduan Melayu makin utuh? Pemimpin dan ahli-ahli PAS dan PKR berbangsa Melayu sudah boleh berpelukan dan bekerjasama dengan UMNO demi rakyat?

2.  Apakah sudah selesai perbalahan dan perasaan permusuhan antara pemimpin dan penyokong parti-parti Melayu samada UMNO, PAS dan PKR? Daripada pengamatan di media-media sosial samada FB, twitter dan whats app group, ternyata ianya semakin menyala api permusuhan yang sudah sekian lama dibakar. Maruah Melayu yang disebut-sebut sebagai dihina sudah terangkat ke langitkah selepas himpunan ini? 

3.   Sembang kedai kopi dan mamak teh tarik juga tetap rancak seperti biasa menghentam sesama Melayu malah semakin deras momentumnya. Apakah ini impak kejayaan yang menelan belanja jutaan ringgit itu? Itu belum termasuk kos membersih dan mengutip sampah dikenakan DBKL lagi. 

4.   Jika himpunan ini bertujuan untuk perpaduan kaum, apakah himpunan sedemikian rupa merupakan pendekatan terbaik untuk integrasi kaum? Memetik kata-kata Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos yang merupakan penganjur himpunan ini, "Perhimpunan semalam tercetus kerana Bersih 4 mengadakan himpunan haram. Ini kerana kebiadapan daripada himpunan itu dan menghina pemimpin-pemimpin kami." Apakah sebelum ini pemimpin-pemimpin pembangkang tidak pernah dihina oleh pihak yang membuat kenyataan ini?

5.    Apakah tindakan diambil itu demi perpaduan kaum atau untuk menyamankan hati pemimpin pemurah? Katanya lagi dalam satu sidang media di lobi PWTC, "himpunan ini dibuat sebagai membalas Perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29 hingga 30 Ogos lalu. Jangan cabar kami. Kami dalam kalangan NGO jika Bersih hendak buat himpunan lagi, kita akan turun pada hari dan waktu yang sama". Suka sangatkah kita untuk menuang minyak kepada api yang sedang marak?

6.   Pemerhatian yang dibuat mendapati tujuan tersirat himpunan ini tidak lebih kepada usaha menutup isu-isu besar yang sedang membayangi kepimpinan negara seperti yang diungkapkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden PAS. Di samping itu, pendekatan ini lebih merupakan usaha menunjuk kekuatan bagi menunjuk keangkuhan kaum. Jika disebut 'rasisme' pastinya ramai jongos yang tidak bersetuju dan beranggapan apakah bangsa Melayu tidak boleh mempamirkan kekuatan mereka dan perlu dilabel rasis. Namun begitu, itulah hakikat sebenar yang tidak ada perkataan lain sesuai untuk menggambarkan keadaan tersebut. 

7.   Ternyata ia bukan ramuan berkesan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Sejak sekian lama kita berusaha merapatkan jurang perbezaan kaum dan berbangga dengan keharmonian serta perpaduan kaum yang dianggap unik berbanding negara lain. Pun begitu, dengan sekelip mata, dunia menyaksikan betapa tindakan ini yang disokong pemerintah telah menghancurkannya hanya semata-mata untuk kepentingan orang-orang tertentu. Akuilah bahawa sebenarnya, langkah diambil telah menambah kerenggangan hubungan yang sebelum ini sudah retak dek tingkah laku pemimpin-pemimpin yang begitu 'desperate' untuk mempertahankan kuasa masing-masing. Di manakah Kementerian Perpaduan Negara menyepi dalam isu ini? Jangan hanya ada menteri mengeram telor tetapi tidak menetas sehingga kiamat. 

8.   Bayangkan usaha Korea Utara mempamirkan kekuatan mereka dengan melakukan ujian peluru berpandu darat ke udara dan laut ke udara di sempadan Semenanjung Korea. Bantahan keras dilakukan samada oleh Korea Selatan dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat sebagai langkah untuk memberi isyarat kepada Korea Utara bahawa tindakan mereka itu bertentangan dengan semangat berbaik-baik antara kedua-dua negara. Jika ianya untuk kebaikan, kenapa harus bantahan dibuat

9.   Lihat saja situasi di sempadan Israel dan Palestin ketika tentera Israel mula menempatkan tenteranya di sana. Apakah ianya bukti Israel berusaha merapatkan hubungan antara rakyat dan pemerintah Palestin dengan Rejim Zionis itu? 

10.   Mempamirkan kekuatan adalah manifestasi pihak yang melakukannya untuk mengajak berperang. Tidak mungkin menunjuk kekuatan itu adalah bertujuan untuk bersenda gurau atau berjenaka. Apakah Himpunan Melayu Bersatu itu sebagai usaha mengajak bukan Melayu untuk berperang? Jangan sesekali terdetik niat seperti itu walau apa sekalipun kaum yang kamu warisi kerana meruntuh itu mudah tetapi membinanya memakan masa ribuan berdekad lamanya. Tidak salah menjadi Melayu, Cina atau India, kerana yang bersalah adalah bagaimana kita menguruskan bangsa dan juga memberi manfaat kepada bangsa, agama dan tanahair.

11.   Masalah politik perlu diselesaikan cara politik dan cara politik itu harus dalam bentuk 'lelaki budiman' bukan samseng kampung dusun. Kematangan berpolitik setelah 58 tahun kita merdeka tidak seharusnya memperlihatkan gaya keanak-anakan lagi. Jika manusia berumur 58 tahun itu masih keanak-anakan apakah tanggapan masyarakat terhadap manusia seperti itu? 

12. Tiada kelebihan di antara orang Arab dengan bukan orang Arab dan tidak ada kelebihan di antara kulit putih dan kulit hitam,begitu juga sebaliknya.Semulia-mulia kamu ialah orang yang bertakwa. (maksud hadis)

13.   Raikanlah perbezaan pandangan dan ideologi kerana itulah rahmat Allah swt kepada manusia. Kita bercakap soal kemerdekaan tetapi pada masa sama membungkam kemerdekaan fikiran dan jiwa. Apa yang wujud di negara ini bukanlah perpecahan Melayu tetapi sebenarnya hanyalah perbezaan wadah perjuangan, ideologi politik dan pandangan. Jangan dibesar-besarkan sesuatu yang tidak penting sedangkan yang lebih penting diremeh-remehkan. 

Wallahualam




No comments:

Post a Comment