Wednesday, 16 September 2015

MENGATASNAMAKAN RAKYAT

1.     Setiap manusia punya kecenderungan untuk memihak walau sekuat mana sekalipun tekad untuk tidak memihak. Sebenarnya memihak atau tidak bukan isu besar untuk dijadikan masalah buat mana-mana orang. Yang tidak wajar adalah bertindak mendokong atau membantah walaupun ternyata pihak yang disokong itu sudah tersasar atau tidak lagi berada pada landasan yang benar dalam erti kata sebenar. Benar atau salah mengikut tafsiran kelompok berbeza dengan benar di sisi moral, masyarakat dan agama. Benar kerana punya kepentingan diri sendiri adalah tidak benar kecuali kepentingan itu demi bangsa, agama dan tanahair.

2.    Mari kita renung dan bermuhasabah secara jujur samada parti-parti politik atau NGO di negara ini tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang samada berjuang untuk berbakti kepada rakyat atau hanya untuk mendapatkan kuasa melalui rakyat. Jika kita berfikir tanpa berlandaskan emosi dan kepentingan kelompok, cuba buktikan apakah tindakan dan program yang dilakukan oleh pemimpin parti-parti politik dan NGO itu untuk kepentingan rakyat.


  • Program menghimpunkan rakyat ramai-ramai itu untuk kepentingan bangsa? Agama? Rakyat? Tanahair?
  • Kempen ketika pilihanraya untuk rakyat?
  • Terbitkan manifesto untuk rakyat? (Lepas pilihanraya ke mana janji-janji dalam manifesto?)
  • Bercakaran sesama sendiri atau musuh politik untuk rakyat? 
  • Menjadi ahli lembaga pengarah pelbagai syarikat untuk rakyat?
  • Majlis rumah terbuka untuk rakyat?
  • Berebut jawatan dalam parti sehingga bermusuhan dan melabel puak itu dan ini untuk rakyat? 
  • Cium tangan pemimpin untuk rakyat?
  • Minta projek dan jadi broker untuk rakyat?
  • Mengganggu perjalanan pentadbiran sesebuah agensi kerajaan untuk rakyat?
  • Hantar surat kepada agensi perisikan luar negara untuk membantu kawan yang juga taukeh judi itu untuk rakyat? (Hidup Melayu!)
  • Menghapuskan subsidi untuk rakyat?
  • Kenakan GST ketika mereka cukup tertekan itu untuk rakyat?
  • Minta derma sana-sini untuk rakyat?
  • Menjawat jawatan dalam parti dan kerajaan untuk rakyat?
  • Dapat anugerah gelaran berbagai-bagai untuk rakyat?
  • Pelbagai kemudahan dari hujung kaki hingga hujung rambut untuk rakyat? (Kenderaan, bahanapi, rumah, uitiliti, perabot, pemandu, pembantu rumah, dan berbagai-bagai lagi. Jika untuk rakyat, negara lain yang lebih kaya dan makmur serta maju tidak pula mendapat kemudahan seperti itu)
  • Hadir jamuan siang malam itu untuk rakyat?
  • Bagi bantuan kepada Ketua Bahagian parti itu untuk rakyat? (Jika benar berapa banyak yang Ketua Bahagian beri pada rakyat?)
  • Lantik saudara mara dan suku sakat dalam segala urusan yang mudah dapat keuntungan itu untuk rakyat?
3.   Sebenarnya banyak lagi yang dapat kita fikirkan satu-persatu apa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin untuk kita kelaskan samada ia untuk rakyat atau sebaliknya dengan syarat jujur dan ikhlas dalam mendefinisi atau tafsirannya. 

4.   Menjalankan tugas hakiki dalam parti atau kerajaan sememangnya itu tugas mereka dan tidak semestinya untuk rakyat. Ini hanyalah apa yang difikirkan oleh seorang rakyat yang merasakan selama ini mereka ditipu oleh pemimpin-pemimpin tidak kira di pihak mana sekalipun mereka dengan mengatasnamakan rakyat. 

5.    Menjadi wakil rakyat tidak kira di pihak pembangkang atau kerajaan tetap dibayar gaji elaun dan segala keistimewaannya maka dengan itu mereka perlu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat. Tambah melelahkan adalah mereka sebaliknya bukan menjadi wakil rakyat dalam dewan rakyat tetapi menjadi wakil pemimpin mereka. Jika itu membebankan mereka dengan segala hormatnya dipersilakan untuk meletak jawatan dan beri laluan kepada yang lain.


No comments:

Post a Comment