Salam,
Semalam saya membaca berita rampasan barang-barang tiruan di Alor Star oleh KPDNKK hasil intipan selama 2 minggu dengan jumlah lebih kurang RM10,000 dalam akhbar Harian Metro. Barangan termasuk beg, talipinggang, pakaian dan lain-lain. Kebetulan Ketua Penguatkuasa KPDNKK teman ketika belajar ijazah pertama satu ketika dulu.
Saya rasa sudah sampai masanya kemunafikan agensi penguatkuasa dihentikan kerana rakyat sudah semakin muak dan loya dengan tindakan wayang sebegini. Bayangkan buku-buku saya beli secara online dari Bandung, Indonesia sebanyak 20 buah lewat sampai kerana diperiksa beberapa kali sejak masuk di KLIA hingga Butterworth sebelum sampai pada saya oleh pihak kastam. Jika sampai ke tangan saya bererti tiada buku dalam senarai hitam.
Begitu jugalah dengan barangan tiruan ini sudah pasti melalui proses sama diperiksa oleh kastam ketika sampai di pelabuhan atau lapangan terbang. Jangan sampai cukai dikutip tetapi masih pembeli menjadi mangsa. Rakyat dengan keadaan ekonomi begitu sempit tidak mampu membeli barangan asli yang jauh harganya tinggi berbanding tiruan. Rakyat bukan isteri pemimpin negara yang sanggup membeli beg atau cincin puluhan, ratusan dan juta ringgit. Rakyat bukan memilih jenama tetapi harga yang murah, rekabentuk cantik dan sekadar dapat bertahan setahun pun sudah lebih dari cukup. Rakyat tidak peduli jenama syaitan atau iblis tetapi dapat digunakan untuk anak-anak ke sekolah, dapat pakai ke tempat kerja dan seharian.
Peniaga-peniaga pula hanya mencari makan dengan menjual di pasar malam dan pasar tani yang untungnya tak seberapa bagi menampung keperluan hidup yang semakin tinggi. Jika VCD pun dirampas begitu sedangkan penguatkuasa bukan saja merampas tetapi mereka juga tidak membeli dan mengambil untuk diri mereka tanpa bayaran. Bayangkan rakyat membeli sedangkan mereka dapat secara percuma walaupun alasan merampas adalah kerana tiruan. Apa beza tiruan membeli dengan tiruan ambil percuma?
KPDNKK wajar memberi fokus kepada menstabilkan harga barangan di pasaran, kegiatan menyorok barangan, penyeludupan barangan kawalan di sempadan dan mengekang inflasi. Jika barang tiruan atau barang-barang membahayakan kesihatan itu seharusnya diambil tindakan seperti ubat-ubatan dan lain-lain yang merbahaya. Tetapi apakah memakai pakaian dan beg tiruan boleh menyebabkan kulit-kulit terbakar dan keracunan? Barang mahal dan tulin tubuh badan menjadi sihat?
Thailand dan Indonesia berselerak barangan tiruan tetapi negara mereka tidak muflis dan rakyatnya mendapat penyakit kulit atau mengidap barah akibat barangan tiruan. Berkhidmatlah untuk rakyat bukan untuk pemimpin yang sudah tidak punya deria kasihan dan naluri kemanusiaan. Sekadar coretan dan renungan.
Wallahualam

No comments:
Post a Comment